Murtad: Memadam Kebakaran

Oleh : Mohd Fadli Yusof
Facebook : http://www.facebook.com/mfadli11

Semua sudah maklum betapa berleluasanya murtad dan gejala negatif yang bukan sahaja berlaku di kalangan remaja. Apa yang sedang berlaku ini diibaratkan melihat di depan sana sebuah rumah yang sedang terbakar. Tiada siapa yang waras akan membiarkan begitu saja rumah terbakar. Tidak boleh berdiam diri atau buat-buat tidak tahu saja. Dan bukan juga saat yang sesuai untuk saling salah menyalah dan saling tuduh menuduh sebagai pihak yang bertanggungjawab.



Pada ketika itu semua pihak perlu merasa bertanggungjawab. Sekadar kecoh dan riuh rendah memperkatakan rumah sedang terbakar juga tidak membawa sebarang makna. Apa yang lebih penting dan utama ialah memfokuskan kepada bagaimana hendak memadamkan rumah yang sedang terbakar serta bertindak menyelamatkan rumah-rumah lain yang belum terbakar. Ertinya menghalang api dari merebak dan mengambil langkah berkesan agar tiada kebakaran baru.

Sikap terbaik dalam menangani murtad dan gejala negatif sama seperti melihat rumah yang sedang terbakar. Jangan cuba berlepas tangan atau berpeluk tubuh kerana api boleh merebak dengan pantas. Dan jangan ada sangkaan atau dakwaan bahawa api tidak akan sampai membakar rumah kita pula. Atau jangan terlalu yakin bahawa perkara yang sama tidak akan terjadi kepada rumah kita sendiri. Kalau kini kita tidak mengendahkan kebakaran yang sedang berlaku, mungkin suatu masa nanti orang lain pula tidak memperdulikan kita, ketika berlakunya kejadian yang sama.

Bertindaklah segera. Berbuatlah terlebih dahulu apa yang termampu sebagai kaedah bantu mula. Dengan cara itu kemungkinan dapat meredakan sedikit kemarakan api tersebut. Berbagai pihak perlu juga terlibat dalam memadamkan kebakaran. Agar berbagai cara dan alat dapat digunakan. Ada yang mencurah pasir, ada yang menggunakan guni basah, ada yang memukul dengan dahan kayu yang berdaun hidup dan ada yang memunggah barang yang berkesempatan diselamatkan sementara masih berpeluang.

Janganlah pula hendaknya ada pihak yang tidak berbuat apa-apa, sebaliknya mengkritik orang yang sedang sibuk memadamkan kebakaran. Lebih-lebih lagi bertindak menghalang atau mengganggu pihak lain yang sedang bertungkus lumus. Atau janganlah pihak yang sama-sama memadam kebakaran itu mempertikaikan cara dan alat yang digunakan oleh orang lain. Ini selagi niat dan maksudnya adalah sama-sama untuk memadamkan kebakaran dan bukan ada kepentingan lain.

Memang tidak dinafikan adanya pihak yang berniat serong dan mempunyai maksud tersirat, umpamanya sambil memadamkan kebakaran, mencari peluang untuk mendapat upah, meraih nama atau yang lebih teruk ialah hendak mencuri barang kepunyaan rumah yang terbakar itu. Malanglah nasib tuan rumah tersebut, dalam keadaan mungkin kehilangan rumah, barang-barangnya pula dikebas oleh orang yang kelihatannya sedang sama-sama memadam kebakaran.

Sikap dan cara berfikir umat Islam sendiri merupakan faktor penting ke arah kejayaan menangani murtad dan gejala negatiif. Sikap dan cara berfikir yang salah turut menyumbang kepada berkembangnya gejala negatif. Ini diibaratkan rumah yang sedang terbakar dicurahkan pula petrol.

Dalam konteks manusia, umpamanya mereka yang terjebak dengan kemaksiatan dan kemungkaran sering tidak dipedulikan. Malah ramai pula yang menjadi tukang kutuk, tukang kritik dan tidak tahu bagaimana hendak membaik pulih. Kedapatan golongan yang kononnya hendak membaik pulih, lantaran pendekatan yang salah maka menambah parah lagi keadaan yang sudah sedia rosak. Ibarat orang yang mengidap penyakit kencing manis disuapkan gula.

Contoh lain yang sering terjadi ialah mereka yang sudah mula menunjukkan adanya perubahan ke arah positif turut sama menerima habuan kritikan. Banyak prasangka yang dilemparkan kepada mereka. Kononnya mereka berpura-pura, berlakon, berlagak warak, menunjuk-nunjuk. Kita sering cemas kepada golongan yang ingin berubah dan cenderung kepada agama. Ertinya kita mahu mereka berubah tetapi tidak mahu ke arah agama.

Tidak kurang juga yang turut kena tempias kritikan ialah mereka yang terlibat secara langsung dalam membawa perubahan. Kita tidak mahu berputih hati untuk mengucap syukur dan berterimakasih di atas segala usaha mereka itu. Kita cuba menyuluh niat tersirat mereka. Sedangkan mereka bercekang mata, penuh gigih dan mengorbankan masa dan tenaga dalam kerja-kerja membaik pulih masyarakat agar mengenal Tuhan dan hidup bersyariat. Sepatutnya kita turut menyumbang apa yang termampu meringankan beban mereka.

Malang dan sangat merugikan umat Islam kini yang seringkali berbalah tidak kena tempat dan masa. Ketika kita sangat perlukan perpaduan dan kerjasama dalam menangani gejala negatif, ketika itu pula kita renggang dan bertikai antara satu sama lain. Kita tidak pandai melihat keutamaan yang patut diberikan iaitu sama-sama membenteras kemungkaran.

Dalam keadaan kita dituntut memberikan pengorbanan besar demi kepentingan umat, ketika itu pula kita meraih keuntungan di atas kesusahan dan penderitaan orang lain. Para sahabat adalah golongan yang telah merelakan diri mereka susah, menderita dan terkorban demi kemuliaan agama Allah SWT di atas muka bumi ini.



Sewaktu Nabi Allah Ibrahim a.s dibakar di dalam api yang amat besar oleh Namrud, seekor burung pipit telah berusaha hendak memadamkan api tersebut. Di atas api yang menjulang-julang dan mengganas itu dibawanya air di dalam paruhnya lalu dititiskan ke atas api itu. Berkali-kali dia melakukan demikian, tetapi api tidak kunjung padam.

Sekumpulan burung gagak yang menyaksikan perbuatan si pipit itu mentertawakannya, malah menyifatkan perbuatan si pipit itu sebagai tidak berfaedah dan tidak akan berupaya memadamkan api yang besar. Namun si pipit dengan penuh yakin menjawab: "Aku telah melakukan apa yang patut apabila melihat Nabi Allah Ibrahim a.s di bakar oleh musuh. Moga-moga nanti aku tidak ditanya, mengapa kamu hanya berdiam diri apabila melihat Nabi Ibrahim dibakar?

Inilah sikap yang patut ada!


محمد فضلي بن يوسف
09 Ramadhan 1432H
09 Ogos 2011

Comments

Popular posts from this blog

Boleh atau Tidak Ucap Happy Deepavali?

Keperibadian Rasulullah s.a.w

Pakej Amal Jariah : Sewaan Ruangan Masjid