Iktibar Peristiwa Muharram

Iktibar Peristiwa Muharram

Oleh: Ustaz Mohd Fadli Yusof
http://www.facebook.com/mfadli11 

Muharam adalah bulan yang banyak mencatatkan peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah Islam. Nabi-nabi terdahulu sebelum Rasulullah ﷺ mengalami berbagai peristiwa manis terutama pada 10 Muharam yang kita kenali sebagai hari Asyura. Keistimewaan Asyura itu terbukti apabila baginda Rasulullah ﷺ sendiri meraikan ketibaannya dengan berpuasa. Malahan ia telah menjadi satu sunnah yang digalakkan kepada umat Islam.

Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada ibnu Abbas katanya: "Nabi datang ke Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada 10 Muharam. Nabi bertanya: "Mengapa mereka berpuasa? Mereka menjawab, "Suatu hari yang baik, Allah melepaskan pada hari itu Musa dan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka, lalu Musa berpuasa pada hari itu."
Mendengar jawapan itu Rasulullah ﷺ bersabda: "Aku lebih berhak terhadap Musa daripada kamu. Rasulullah ﷺ berpuasa serta menyuruh para sahabat berpuasa."

Dari rentetan sejarah yang berlaku sepanjang zaman hingga ke hari ini, 10 Muharam pasti diwarnai sejarah. Cuma bagi umat mutakhir ini amat jarang ingin meneliti suasana berdasarkan sejarah yang lalu. Lebih-lebih lagi menjadikan sejarah Islam sebagai kayu ukur perjuangan umat yang dibina.

Maka berlalulah Muharam demi Muharam tanpa membawa apa-apa erti kepada umat Islam. Yang ada hanyalah sambutan-sambutan berupa perhimpunan, yang diisi dengan ulangan kisah kegemilangan silam itu.

Bukan tarikh 10 Muharram itu sebenarnya yang perlu dikenang, tetapi peristiwa besar yang berlaku pada tarikh tersebut perlu menjadi bahan renungan dan iktibar.

Sering kita dengar ungkapan, "Sejarah pasti berulang". Ia adalah pasti, cuma siapakah yang mengulangi sejarah itu sahaja yang berbeza. Rasulullah ﷺ dan para sahabat telah berjaya melakar sejarah keunggulan umat. Hingga kini sejarah tersebut masih basah dalam ingatan pejuang-pejuang Islam. Namun baginda sendiri mengisyaratkan bahawa keunggulan umat itu bakal berlaku sekali lagi di akhir zaman.

Petanda-petanda akhir zaman telah amat banyak berlaku hari ini. Sementara dicelah-celah petanda kemusnahan dunia ini terus berlaku, masih ada insan-insan yang mencintai Allah dan Rasul terus berjuang membina Islam sepertimana yang diperjuangkan Rasulullah dan para sahabatnya. Di serata dunia hari ini kelihatan umat Islam bangun menentang kezaliman ke atas mereka. Realitinya, mereka bangun hanya setelah ditindas sedemikian rupa.

Sewaktu senang dan aman, kebanyakan mereka lupa Tuhan. Mereka hidup lalai hinggalah Allah Yang Maha Pengasih mendatangkan "peringatan" untuk mereka.

Siapakah di waktu ini yang berjuang di waktu susah dan senang? Membangunkan syariat Allah yang kecil dan besar tanpa mengira tempat dan waktu? Mereka hanyalah insan yang benar-benar mencintai Allah dan menjadikan Allah SWT sebagai cinta agungnya.

Bagi mereka ini, pasti begitu sensitif dengan sejarah yang lalu, dan sedang berjuang untuk mengembalikan keunggulan umat ini kembali. Dan Muharam adalah bulan yang dinanti oleh para pejuang. Apakah hadiah yang bakal Allah beri sepertimana Allah telah memuliakan peuang-pejuang terdahulu di bulan bersejarah itu.

Allah menerima taubat Nabi Adam a.s hingga ia bersih dari segala dosa dan kesilapan. Allah menerima taubat Nabi Adam a.s hingga ia bersih dari segala dosa dan kesilapan. Allah menyelamatkan Nabi Ibrahim dari kekejaman Raja Namrud yang membakarnya hidup-hidup, namun apabila api telah padam Nabi Ibrahim keluar dengan sihat tidak terbakar sedikitpun.

Di bulan bersejarah ini juga Allah mengeluarkan Nabi Yusuf a.s dari dalam penjara setelah meringkuk selama beberapa tahun akibat fitnah Zulaikha isteri kepada pembesar Mesir.

Juga Allah menyelamatkan Nabi Nuh a.s beserta para pengikutnya setelah terapung-apung di atas banjir besar yang melanda dunia selama enam bulan di bulan Muharam.

Allah memulihkan penglihatan Nabi Yaakub a.s. setelah buta beberapa lama akibat banyak menangisi anaknya (Nabi Yusuf a.s) yang hilang dan Nabi Yunus a.s. keluar dari dalam perut ikan setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam. Allah menyelamatkan Nabi Yunus a.s setelah  ia banyak berzikir di dalam perut ikan itu.

Nabi Ayub a.s juga Allah sembuhkan dari penyakit  yang lama dideritainya serta Allah menyelamatkan Nabi Musa a.s dari dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya. Nabi Musa a.s terperangkap di tepi Laut Merah. Allah membelah laut itu hingga terjadi jalan raya di dasar laut. Nabi Musa a.s selamat sampai ke seberang sementara Firaun dan pengikutnya yang mengejar dari belakang terperangkap apabila ia berada di tengah jalan, lalu laut pun bercantum semula. Maka matilah Firaun beserta semua bala tenteranya.

Di bulan ini jugalah Allah mengurniakan kerajaan yang besar kepada Nabi Sulaiman a.s dan Allah mengangkat Nabi Isa a.s ke langit sewaktu dikejar oleh puak pelampau Yahudi yang ingin membunuhnya.

Segalanya di bulan Muharam. Andainya perjuangan umat Islam kini benar dan benar-benar diatas jalan Allah dan Rasul, pasti kemenangan dan keselamatan yang telah direzekikan kepada pejuang-pejuang terdahulu itu akan mereka nikmati.
Segala itu tidak mungkin Allah beri jika pecinta-pecinta kebenaran sekadar berpeluk tubuh, cuai dalam perjuangan dan lupa membaiki diri. Tidak berlaku dua cinta dalam suatu masa. Jika ada cinta dunia dalam hati, maka lenyaplah cinta Ilahi dari sanubari. Sesungguhnya, jika kita inginkan kegemilangan Islam berulang, hijrahlah kita dari angan-angan kepada realiti, basuhlah dosa dengan taubat, dapatkan cinta agung dari Allah yang Maha Agung dengan sentiasa membaiki diri.

Iktibar Muharam boleh dilihat melalui berbagai kisah hidup para kekasih Allah SWT iaitu para Rasul. Penderitaan tidak berakhir sepanjang mereka mengajak manusia kepada Allah SWT. Sudah menjadi ketentuan Allah SWT iaitu perjuangan menegakkan kebenaran tidak menempuh laluan mudah. Kemiskinan, sedikit penyokong, ramai penentang di antara perkara lumrah. Kemuliaan dan kebenaran itu bukan diukur pada kesenangan dan kemewahan. Para rasul-rasul yang mulia itulah orang yang paling sengsara dalam hidup.

Nabi Sulaiman a.s yang Allah SWT kurniakan kerajaan langit dan bumi, pun begitu ketika para pembesar sedang menikmati jamuan enak, beliau secara senyap-senyap menyelinap ke bilik lalu memakan roti beserta air kosong.

Musuh kebenaran adakalanya datang dari golongan yang tidak disangka-sangka. Hasad dengki juga boleh datang dari kalangan adik beradik seperti yang dialami oleh Qabil terhadap Habil dan Nabi Yusuf oleh abang-abangnya, Nabi Noh oleh adiknya sendiri dan Nabi Isa dari kalangan sahabat setia.

Apa yang lebih penting ialah cara menghadapi cabaran. Perlu memiliki persediaan diri seperti sabar dan perlu pintar untuk menghadapi cabaran.

Para Rasul yang telah melalui peristiwa besar Muharam, pastilah memiliki keimanan yang paling kental, sehingga ada yang tegolong dalam Rasul yang Ulul Azmi, sesuai dengan cobaan dan ujian yang mereka hadapi.

Saad bin Abi Waqqash berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ., 'Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat ujian dan cobaannya?' Nabi ﷺ menjawab, 'Para nabi, kemudian yang menyerupai mereka, dan yang menyerupai mereka. Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau agamanya tipis (lemah), dia diuji sesuai dengan itu (ringan); dan bila imannya kokoh, dia diuji sesuai itu (keras). Seorang diuji terus-menerus sehingga dia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa'." (HR Bukhari)

Di akhir zaman, para pejuang yang bersungguh-sungguh mahu berjuang membangunkan Islam, perlu mencontohi keimanan yang dimiliki para Rasul terdahulu, walaupun tidak mungkin dapat menyamainya. Mereka itu memiliki iman yang ajaib, hingga Rasulullah pernah bertanya kepada para sahabat:

 أي الخلق أعجب إليكم إيمانا ؟ قالوا : الملائكة ، قال : و ما لهم لا يؤمنون و هم عند ربهم عز و جل ؟ قالوا : فالنبيون ، قال : و ما لهم لا يؤمنون و الوحي ينزل عليهم ؟ قالوا : فنحن ، قال : و ما لكم لا تؤمنون و أنا بين أظهركم ؟ قال : فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ألا إن أعجب الخلق إلى إيمانا لقوم يكونون من بعدكم يجدون صحفا فيها كتاب يؤمنون بما فيها

Makhluq apakah yang paling menakjubkan kamu keimanannya?
Mereka (para sahabat) berkata: Malaikat.


Maka Rasulullah berkata: Bagaimana pula mereka tidak beriman sedangkan berada di sisi Tuhan Azza Wa Jalla.
Mereka (para sahabat) berkata: Para Nabi.


Rasulullah berkata: Bagaimana pula mereka tidak beriman sedangkan wahyu turun ke atas mereka.
Mereka (para sahabat) berkata: Maka kami.


Rasulullah berkata: Mengapa pula kamu tidak beriman sedangkan saya berada di hadapan kamu.
Mereka (para sahabat) berkata: Siapa mereka?


Jawab Rasululah ﷺ: Ketahuilah sesungguhnya yang paling menakjubkan (ajaib) kepada saya keimanannya ialah sungguh suatu kaum yang mereka itu adalah selepas kamu, mereka mendapati helai-helai kitab (Al-Quran) kemudian mereka beramal dengan apa yang ada di dalamnya.


(HR al-Bazzar, Musnad no 7294, al-Baihaqi, Dala`il al-Nubuwwah, al-Khatib al-Baghdadi dalam Syaraf ashabul Hadith dan al-Laalakai dalam syarh Usyul al-Sunnah.)


Bagi memahami siapakah yang disebut Rasulullah ﷺ "suatu kaum yang mereka itu adalah selepas kamu", tersurat di dalam sebuah hadis menyebut tentang umat yang terkemudian itu,

 قَالَ تَغَدَّيْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَعَنَا أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ قَالَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلْ أَحَدٌ خَيْرٌ مِنَّا أَسْلَمْنَا مَعَكَ وَجَاهَدْنَا مَعَكَ قَالَ نَعَمْ قَوْمٌ يَكُونُونَ مِنْ بَعْدِكُمْ يُؤْمِنُونَ بِي وَلَمْ يَرَوْنِي


"Suatu saat kami pernah makan siang bersama Rasulullah ﷺ dan ketika itu ada Abu Ubaidah bin Jarrah r.a yang bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah ada orang yang lebih baik dari kami? Kami memeluk Islam dan berjihad bersama Engkau?" Beliau ﷺ menjawab, "Ya, ada iaitu kaum yang akan datang setelah kalian, yang beriman kepadaku padahal mereka tidak melihat aku."
(Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad juz 4 hal 106 hadis no 17017 tahqiq Syaikh Syu’aib Al Arnauth dimana beliau berkata hadis ini shahih.)

Diriwayatkan pula oleh Abu Umamah r.a bahawa Nabi ﷺ bersabda :
طوبى لمن رءانى و ءامن بى وطوبى سبع مرات لمن لم يرنى وءامن بى

"Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku, dan berbahagialah tujuh kali bahagia orang yang tidak melihatku walhal ia beriman kepadaku."

Mampukah kita termasuk golongan yang ajaib imannya? Berusahalah. Peluang ini hanya terbuka untuk umat di akhir zaman, selepas kewafatan Rasulullah ﷺ.

محمد فضلي بن يوسف
10 Muharam 1433H
06 Disember 2011

Comments

Popular posts from this blog

Boleh atau Tidak Ucap Happy Deepavali?

Pakej Amal Jariah : Sewaan Ruangan Masjid

Keperibadian Rasulullah s.a.w