TUHANKU! APAKAH DAKU TELAH KEMBALI KEPADAMU? Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA ) Kita sering mendengar cerita orang itu dan orang ini kembali kepada Islam. Cerita orang tertentu ‘kembali kepada Islam’ kadang-kala boleh dikomersialkan, terutama apabila dia ternama atau celebrity . Mungkin majlisnya bertambah meriah. Bayaran bertambah tinggi. Sorak sorai makin menghilai. Tepukan makin gemuruh. Kita wajar bertanya: “apakah maksud seseorang kembali kepada Allah?” Ini satu persoalan yang kelihatan mudah tetapi kadang-kala bukan senang untuk benar-benar mengerti hakikatnya. Apabila lambang-lambang agama itu boleh menghasilkan kepentingan dunia, maka soalan ini makin sukar dijawab. Ramai orang yang ingin menggunakan agama bukan kerana dia mencari Tuhan, tetapi kerana agama boleh menjadi jambatan meraih banyak kepentingan duniawi dalam kehidupan ini. Seorang pesalah yang penuh jenayah ke mahkamah dengan memakai kopiah, apak...